Rahmat menunjukkan antara bahan bacaan yg mengandungi ayat Al-Quran |
Walaupun hanya tertera kalimah Bismillah dalam bahasa Arab di kad jemputan perkahwinan maknanya tetap sama, sekali gus perlu mendapat penghormatan seperti kitab al-Quran dan jika mahu dilupuskan ia mesti melalui tertib tertentu.
Pengurus Percetakan Saufi yang menguruskan tempat pelupusan al-Quran, Rahmat Mahdan, berkata selain al-Quran, ada di kalangan umat Islam terlepas pandang petikan ayat suci itu yang ditulis di tempat lain seperti barang perhiasan, seramik, jam dinding, pinggan, sejadah atau kaset agama.
“Al-Quran ialah mukjizat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW, jadi dalam apa juga bentuk ia mesti dihormati dan dimuliakan kerana darjatnya yang tinggi.
“Misalnya dalam CD agama yang mengandungi bacaan al-Quran, sewajarnya ia dihormati sama seperti kitab, namun ramai di kalangan kita tidak mengambil berat soal ini sehingga dibuang atau diletakkan di tempat tidak sepatutnya. Kalau kad kahwin seeloknya ditulis terjemahan al-Quran bagi mengelak ia dibuang di merata tempat selepas habis kenduri,” katanya yang ditemui di Batu 9, Cheras, di sini, baru-baru ini.
Rahmat berkata, sejak mengusahakan tempat pelupusan al-Quran bersama ahli keluarga, dia bukan saja menerima kitab al-Quran sama ada uzur atau tersalah cetak, malah barang lain seperti ukiran kayu dan kulit kambing, kepingan kaca hiasan, kitab pengajian agama, buku teks, kad kahwin, kain, kaset, pita video dan CD mengandungi ayat al-Quran.
“Kesedaran perlu wujud di kalangan umat Islam mengenai perkara ini supaya kesucian ayat al-Quran terpelihara kerana dalam apa juga bentuk, maknanya tetap sama,” katanya.
Di sebalik tanggungjawab fardu kifayah yang dilaksanakannya itu, Rahmat kesal kerana ada pihak memandang hina tugas dilaksanakannya, malah disebabkan marah, kitab al-Quran turut mendapat penghinaan.
“Saya buka tempat ini tanpa mendapat pembiayaan mana-mana pihak, jadi apabila ada orang mahu menghantar al-Quran, saya meminta sumbangan untuk menggaji pekerja, membayar bil elektrik serta kos operasi lain, namun ada di kalangan mereka menganggap ia umpama menjual surat khabar lama di tempat kitar semula dan mengharap wang daripada saya.
“Menguruskan pelupusan kitab suci memerlukan tertib tertentu dan saya memerlukan sumbangan kewangan, tetapi disebabkan tidak mahu membayar ada yang memberi ‘kata dua’ supaya saya menerima al-Quran dibawa atau ia akan dicampak ke tengah jalan. “Ada juga yang meninggalkan kotak mengandungi kitab suci ini di depan pejabat tanpa pesanan atau akad semata-mata tidak mahu membayar kos operasi pelupusan,” katanya.
Menurutnya, tujuan dia membuka pusat pelupusan itu bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya rasa tanggungjawab selepas mendapati al-Quran dibuang sesuka hati di tempat kitar semula selain tidak mendapat penghormatan sewajarnya.
LUPUS...Rahmat menunjukkan antara kitab al-Quran yang akan dilupuskan kerana mengandungi kesilapan |
“Apabila ada orang yang menghantar kitab lama dan membuat sumbangan, kami akan memberi al-Quran baru sebagai menghargai mereka, namun masih ramai yang tidak faham usaha kami sehingga membuat tuduhan dan menghina kami,” katanya.
Rahmat berharap jabatan agama Islam serta agensi berkaitan bekerjasama dengan pihaknya bagi memudahkan fardu kifayah itu dilaksanakan.
“Kerja ini dilakukan atas dasar tanggungjawab dan kami amat mengharapkan bantuan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan